Thursday, July 24, 2008

Resipe sb Hensem 2


RESIPI : AYAM MASAK MERAH/BRAISED CHICKEN IN TOMATO SAUCE

Yield : 4 person

Bahan/Ingredients


800gm Ayam di potong 4 / Chicken cut into 4 portion

6 tbsp Minyak Masak/ cooking Oil

40g Halia- di hiris/ Ginger young- sliced

20g Bawang putih- dihiris/Garlic sliced

80 g Bawang Merah - di cincang /Shallot - chopped

2 helai/pcs Daun Pandan/ Pandan leaf

10g Kulit Kayu Manis / Cinnamon stick

5 biji/nos Buah Pelaga/ Cardomon

3 biji/nos Bunga Lawang/ Star Anise

2 biji/nos Bunga Cengkih/ Clove

2 tbsp Pes cili/ Chili Paste

4 tbsp Sos Tomato/Tomato Ketchup

8 tbsp Sos Cili/ Chili Sauce

1/2 cup Air rebusan Ayam/ Chicken Stock

4 tbsp S&P serbuk Santan / Coconut Powder

2 nos Tomato potong wedge/ cut into wedge

2 nos Cili Hijau di potong 2/ Green chili cut into 2 pieces

3 tbsp Gula Sugar

2 tbsp Garam/salt

1 no Air Limau nipis/Lime Juice


Cara/method:

1. Panaskan minyak tumis bawang putih, halia, bawang merah,daun pandan dan kacau hingga naik bau dan berwarna perang, kemudian masukan 4 serangkai/ Heat up the cooking oil add ginger, garlic,shallot, pandan leaf and saute until golden brown and add star anise,cardoamon, cinnamon, clove.

2. Masukan sos chili,pes cili, tomato dan kacau selama 3 minit/add chili sauce, ketchup,chili paste and keep stirring for 3 minutes.


3. Masukan isi ayam isi ayam , air rebusan, serbuk santan dan kacau hingga sauce menjadi pekat atau biarkan renih hingga isi ayam masak/Add chicken meat.stock, coconut powder and stir well, then let it simmer until the sauce become thick and chicken is tender.

4. Akhir sekali masukan air limau nipis, tomato, chili hijau, garam dan gula secukup rasa/ lastly add lime juice, tomato wadge, green chili and season with salt and sugar.

5. Sedia di hidang,hias dengan daun pudina/ready to serve garnish

Petua - Petua Di Dapur


PETUA-PETUA DIDAPUR

1. KUPAS BAWANG
untuk elakkan mata berair semasa kupas bawang,rendam bawang didalam bekas berair.

2. MEMILIH IKAN SEGAR
Pastikan mata yang jernih,tidak berbau,warna kulit yg bersinar,insang berwarna merah jambu, isi yang kejal.

3. ATASI MASAKAN TERLALU MASIN.
Masukan Ubi kentang yang dipotong dadu atau buah pisang mudah yang di hiris.

4. MENGHILANG BAU HANYIR IKAN PATIN
Basuh denga air beras yang telah dicampur dengan asam jawan kemudian di bilas dengan air mengalir.

5. MEMUTIHKAN NASI
Masukan satu sudu kecil air limau nipis semasa masak nasi.

6. ELAK PEMBIAKAN KUTU BERAS
letakkan cili kering didalam bekas beras dan gaul.

7. MAKANAN SIHAT LAGI BERKAT
Sebelum mula memasak pasti niat yang iklas berserta doa yang baik-baik , kemudian setiap bahan-bahan mestilah di basuh dengan air yang mengalir, selepas siap semua masakan mestilah ditutup .

Resipe sb Hensem

KEK OREN/ORANGE CAKE

Bahan-bahan/ Ingredients

250 g Mentega/ Unslated Butter

1 Cwn/cup Gula Kastor/ Sugar

4biji/nos Telur/Eggs

4 sudu makan/tbsp Oren Marmalade

55 g Buah-buahan kering/dry fruit

3 cawan/cups Tepung naik sendiri/self rising flour

1 cawan/cup Suhu/UHT milk

2 biji/nos Kulit oren di sagat/Grated orange skin ( zest)


Cara/method:

1. Pukul gula dengan mentega hingga kembang/ Beat sugar with egg till cremy.

2. Masukan telur satu per satu dan pukul lagi/ add egg the beat and mix well.

3. Masukan semua bahan-bahan dan kacau hingga rata/ add all other ingredient and mix.

4. Panaskan ketuhar pada suhu 150C/350F/ reheat the oven with temp 150C/350F.

5. Masukan adunan dalam loyang/ pour the mixture in cake mould

6, Masukan ke dalam ketuhar/ put in the oven.

7. Bakar selam 1 jam/ bake in the over for 1 hours.

8. Setelah masak biarkan sejuk , barulah dihiris/ let it cold then slice.


AYAM GORENG BEREMPAH/SPICY CHICKEN WING

Bahan-bahan/Ingredients


1kg Kepah Ayam di bersihkan/ Chicken Wing- cleaned

60g Halia di cincang/Ginger- chopped

80g Bawang putih di cincang / Garlic - chopped

10 helai/pcs Daun Kari/ Curry leaf

100g Serbuk kari ( Daging )/ Meat curry powder

20g Jintan Manis/ Caraway Seed

6 sudu makan/ tbsp Oyster sauce

2 biji/nos Air Limau nipis/ Lime Juice

3 sudu makan/Tbsp Sugar

1 Sudu Makan/tbsp Serbuk Pati Ayam/Chicken seasoning powder

2 sudu makan/ Tbsp Garam secukup rasa/ salt to taste

2 biji/nos Telur/ whole egg


Cara/ Method:

1. Masukan bahan-bahan dalam mangkuk, gaul hingga rata dan perap selama 30 minit/ combine all the ingredients, mix well and let it marinade for 30 minutes.

2, Panaskan minyak dan goreng hingga garing/ heat up the cooking oil and deepfry until golden brown or crispy.

3. Hidang dengan sos cili dan kentang goreng/served with chilli sauce and French fries.

Tuesday, July 8, 2008

Empat (4) Strategi Penyambung Semangat Hijrah Rasulullah

"SALAH satu aspek utama dalam Hijratul Rasul ialah membangunkan jejak ke arah perubahan. Matlamat perubahan ialah ke arah membangun insan berasaskan risalah tauhid. Insan adalah sasaran utama Rasulullah dalam mencetuskan perubahan. Perubahan terhadap insan adalah syarat penting bagi perubahan dalam perkara lain.

Oleh itu, sebelum berlakunya peristiwa hijrah, Rasulullah membangunkan insan untuk terus istiqamah atau teguh hati bagi menghadapi kerenah perjuangan yang panjang dan payah. Kesan Hijratul Rasulullah pada jangka panjang ternyata memberikan jalan kepada terbinanya tamadun besar, yang memberi kesan bijaksana terhadap kesejahteraan umat manusia. Tamadun Islam menjadi model terbaik kerana ia menjadikan akhlak sebagai qudwah (teladan), perimbangan antara faktor duniawi dan ukhrawi sebagai jalan amal. Faktor ilmu dan amal sebagai teras serta faktor manusia dan persekitarannya sebagai memahami hakikat sunnah dan fitrah.

Melakukan imbauan terhadap kemajuan silam tidak hanya menjadikan kita tergamam atau nostalgik dengan kehebatan pencapaiannya saja, malah menuntut pencernaan kembali antara faktor zaman dan cabaran lingkungan. Faktor zaman dan cabaran lingkungan adalah dua faktor yang sangat penting dan relevan dengan kehidupan kini. Faktor ruang dan waktu (time and space) sifatnya dinamik.

Perkembangan ilmu, kaji selidik, teknologi dan ilmu alat yang lain menyebabkan tata cara dunia berubah ke arah yang lebih hegemonik. Ia tidak saja memberikan kesan terhadap faktor politik, ekonomi dan sosial, lebih langsung lagi terhadap sistem nilai, bahasa, budaya dan jati diri sesuatu bangsa. Globalisasi atau pemBaratan adalah sesuatu yang dirancang dan bukan lahir secara kebetulan.

Oleh itu, melakukan tindak balas memerlukan upaya strategik tinggi. Ini supaya antara gagasan besar yang ingin dikemukakan mesti seimbang dengan kemampuan ilmu dan ketrampilan yang berkait rapat dengan pembangunan sumber tenaga manusia berkualiti.

Meneliti semula jejak Hijratul Rasul, ia berkisar sekitar satu pihak yang ingin melakukan perubahan sistem kepercayaan dan cara hidup yang lebih fitrah sifatnya, dengan pihak yang sedia teguh dengan ‘status-quo’ atau sistem kabilah yang mengamalkan cara hidup bercanggah dengan fitrah manusia.

Allah mengutus seorang Nabi dan kemudiannya melakukan tugas nubuwwah sebagai pembawa risalah rahmat yang alamiah sifatnya. Pemilihan seorang Nabi adalah faktor yang amat strategik. Ini kerana faktor manusiawi yang ada pada Nabi menjadi contoh bagi manusia lain meneladaninya.

Proses teladan adalah perkara yang amat utama dalam kehidupan manusia yang ingin berubah. Lebih-lebih lagi, proses perubahan itu berasaskan qudwah pilihan Allah yang melalui proses pembentukan pekerti yang Rabbaniah dalam tempoh yang agak panjang.

Proses ini yang meninggalkan jejak sunnahnya menjadi sumber ikutan orang terkemudian. Ini kerana pengalaman itu adalah sesuatu yang rapat hubungannya dengan proses meneladani yang menjadi fitrah manusia sepanjang zaman.

Rasulullah melalui proses yang amat strategik meneroka jejak perubahan, yang akhirnya menjadi asas terbina tamadun madani. Tamadun madani yang berpusat di Madinah, akhirnya menjadi model terbaik dalam pengembangan tamadun Islam selepas itu. Malah, model madani amat relevan dengan sifat masyarakat yang berbilang kerana latar Madinah memberikan asas sedemikian.

Oleh itu, memahami konteks tamadun madani dalam konteks kini, memerlukan upaya pencernaan kreatif menginsafi ada kelainan dari sudut realiti, tetapi roh dan prinsip madani masih boleh menunjangi perubahan.

Sejarah perjuangan Rasulullah penuh dengan cabaran strategik yang menguji kebijaksanaannya menekuni pelbagai kerenah zaman dari pelbagai arah. Rasulullah tidak hanya menggunakan kekuatan pemikiran dan perancangannya, malah meletakkan perancangan Allah mengatasi segala-gala.

Oleh itu, pengurusan dan perancangan strategik masa kini perlu mempertautkan dimensi menegak (hablum minal’lah) dengan dimensi merentas (hablummin’annas) sebagai suatu ikatan kukuh. Dalam banyak hal, Allah menurunkan perintah dalam bentuk wahyu bagi memandu jalan strategik yang diambil oleh Rasulullah. Inilah jalan perubahan yang fitrah sifatnya untuk membangun manusia dan tamadun yang lebih bermakna.

Dalam mendepani faktor globalisasi, umpamanya, umat Islam memerlukan empat strategi utama supaya semangat hijrah yang mengasaskan perancangan strategik dapat diatur.

Pertama, umat Islam harus bijaksana dalam memahami kesan positif dan negatif daripada cabaran globalisasi. Ada faedah berbanding yang boleh dimanfaatkan dalam arus globalisasi. Aspek komunikasi, umpamanya, amat berfaedah untuk manusia. Umat Islam harus memiliki ilmu dan ketrampilan untuk membangun corak input dan maklumat yang selari dengan acuan yang membangunkan martabat insan, bukannya sebahagian maklumat yang boleh merosakkan minda dan hati budi jelek. Hijrah seperti inilah yang amat selari dengan tuntutan sezaman.

Kedua, umat Islam harus mempunyai keutamaan dalam menentukan pelbagai masalah dan kerenah yang sedang dihadapi. Tidak mungkin semua masalah umat Islam kini boleh diatasi dengan mudah. Antaranya, keperluan kepemimpinan dan kepengikutan yang baik, pembangunan sumber tenaga berkualiti, pembangunan ekonomi seimbang, pembangunan teknologi semasa dan prasarana merata. Jika keutamaan ini dapat dijadikan agenda utama, pasti ia akan memberi kesan baik kepada perubahan yang lebih bererti.

Ketiga, umat Islam harus mempunyai tumpuan. Umpamanya, fokus yang harus menjadi tumpuan semua negara Islam ialah pembangunan sumber tenaga manusia. Ilmu dan ketrampilan yang bersifat sains dan teknologi adalah teras kepada pembangunan sumber tenaga. Mengambil semangat hijrah, konsep jihad terhadap ilmu dan ketrampilan wajib menjadi fokus. Jika sumber kekayaan bagi setiap negara Islam diarahkan terhadap pembangunan manusia berkualiti, umat Islam akan mempunyai tenaga pakar yang ramai untuk membangun negaranya.

Jihad ilmu ini tentunya memerlukan perancangan baik dan tersusun. Ini supaya antara faktor strategi yang dituntut dan semangat hijrah yang dijadikan landasan perubahan umat akan berlaku dengan nyata.

Keempat, usaha tersusun rapi bagi membawa perubahan ke arah yang dirancangkan. Umumnya, umat Islam banyak mengeluarkan fikiran di seminar, bengkel, simposium dan konvensyen. Sayangnya kadang-kadang rumusan tinggal rumusan saja.

Dengan semangat hijrah yang tinggi, umat Islam harus berubah dari perbahasan umum kepada pendekatan ke arah mengukuhkan tenaga umat ke arah ilmu dan kemahiran yang lebih praktikal.

Ini supaya kesan perubahan akan ternyata dilihat. Ini pastinya menuntut pembangunan sumber tenaga manusia yang relevan dengan zaman.

Tetapi, apa pun zaman yang dilalui, asas akhlak dan etika perlu ada. Inilah sebenarnya semangat Hijratul Rasul yang memulakan pembangunan insan seutuhnya, kemudian membangunkan semangat jihad tinggi, hingga akhirnya berpindah ke Madinah untuk mewujudkan model madani sebagai asas pembangunan dan perubahan umat Islam serta manusia.

Oleh: Prof. Dr. Sidek Baba



Isteri-isteri rasulullah dari perspektif perjuangan masa kini

“ Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu : Jika kamu sekalian menginginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya ku berikan kepada mu saguhati dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki ( keredhaan ) ALLah dan RasulNya serta ( kesenangan ) di akhirat, maka sesungguhnya ALLah menyediakan bagi siapa sahaja yang berbuat baik di antara mu pahala yang besar.” ( Al Ahzab : 28 - 29 )

MUQADDIMAH

Penglibatan Muslimat di dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum Muslimat, yang menjadi sayap kiri perjuangan Islam telah tercatat di dada Sejarah semenjak dari wujudnya ‘alam maya ini.Peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Muslimat yang juga merupakan Isteri bagi para suami dan ibu kepada anak-anak perlu memahami kewajipan, bijaksana dalam membuat pembahagian masa, memiliki kekuatan, kecekapan berfikir dan bertindak dalam melakukan tugas kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Kita kembali mengambil pengajaran daripada kehidupan Ummahatul Mukminin yang banyak menyokong dan membantu Nabi dengan kekuatan peribadi mereka, kebijaksanaan, kecerdasan, ketabahan, kesetiaan, harta, pengaruh dan pergaulan yang luas dalam memperluaskan syariat ALLah dan pengaruh Empayar Islam di muka bumi ini. Mereka ini adalah golongan yang dikatakan oleh ALLah melalui firmanNya….

“ Sesungguhnya ALLah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat ( syurga ) yang mereka menyukainya. Dan sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun ”
( Al Hajj : 59 )

GEDUNG ‘ILMU

Ummahatul Mukminin yang terdiri daripada 13 orang tersebut selain daripada menjadi Isteri kepada baginda Rasul SAW juga menjadi tempat rujukan ilmu para Muslimat zaman tersebut . Bahkan, selepas RasuluLLah SAW wafat maka beberapa di antara mereka terus menjadi sumber rujukan utama kaum Muslimin. Ini dapat kita lihat melalui peranan Saidatina Saudah .a , Saidatina Aisyah .a , Saidatina Hafsah .a , Saidatina Raihanah .a, Saidatina Syafiyah .a, Ummu Habibah .a dan Ummu Salamah .a . Saidatina Aisyah .a pula memang termasuk sebagai ahli Ilmuan dalam Al Qur’an, hadith, fiqh, sejarah dan bahasa Arab. Sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Burdah bin Musa dari ayahnya .…

“…setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah . a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah…”

Selain daripada itu, tercatat dalam tinta sejarah bahawa Saidatina Aisyah .a termasuk salah seorang daripada 7 orang ahli Majlis Syura selain Umar Ibn Khattab .a, Ali bin Abi Talib .a , Abdullah Ibn Mas’ud, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar. Saidatina Aisyah .a, Hafsah .a dan Ummu Salamah juga banyak meriwayatkan hadith daripada baginda RasuluLLah SAW yang menjadi mereka sebagai golongan Muhaddisah . Kehadiran mereka ini sesungguhnya telah dapat membantu baginda Rasul SAW dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini .

Seterusnya menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang sial dan berada pada tahap yang sebegitu rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu.Ini seterusnya membuktikan kepada kita pada hari ini bahawa wanita yang berilmu juga harus diberikan penghormatan yang tinggi dalam Islam dan memberikan satu input yang cukup berguna dalam meneruskan kesinambungan perjuangan. Firman ALLah SWT yang mafhumnya……

“ ALLah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ‘ilmu pengetahuan beberapa darjat…” ( Al Mujaadalah : 11 )

KEKUATAN EKONOMI & SIKAP PEMURAH – DANA PERJUANGAN

Perjuangan Islam sejak daripada awal perjuangan baginda Rasul SAW lagi menunjukkan kepada kita akan peri pentingnya kemantapan ekonomi untuk menjana dan meneruskan kelangsungan perjuangan. Baginda SAW banyak dibantu oleh kemantapan dan keutuhan ekonomi yang dimiliki oleh Isteri baginda yang tercinta iaitulah Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Sayyidah Khadijah, Ummul Mukminin pertama dalam sejarah Islam adalah seorang wanita bangsawan dan hartawan yang gigih. Beliau senantiasa memberikan dorongan besar terhadap perjuangan RasuluLLah SAW di samping memainkan peranan sebagai penolong, pembela, pelindung RasuluLLah SAW daripada ancaman orang-orang Musyrikin Quraisy.

Selepas kewafatan Sayyidah Khadijah ketika berusia 65 tahun, Rasul SAW begitu bungkam sekali. Sehinggakan tahun tersebut dicatatkan dalam Sejarah Islam sebagai Tahun Duka Cita ( bukan setakat terhadap baginda SAW tetapi juga kepada semua makhluk yang beriman kepada ALLah ). RasuluLlah juga beranggapan bahawa baginda bukan setakat kehilangan Isteri yang setia tetapi kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia kepada ALlah SWT.

Di samping itu, sejarah telah menukilkan betapa Ummahatul Mukminin semuanya adalah insan-insan beriman yang bersikap pemurah dan dermawan. Contohnya, Sayyidah Sauda .a mengikut catatan sejarah pada tarikh kewafatannya, tidak langsung meninggalkan harta yang masih menjadi miliknya walau sedikit. Kesemua hartanya telah dibahagi-bahagi kepada sesiapa yang memerlukan ketika hayatnya. Demikian jugalah halnya beberapa Ummahatul Mukminin yang lain. Sayyidah Zainab .a misalnya terkenal dengan gelaran Ibu Orang-orang Miskin ( Ummul Masakin ) lantaran sifatnya yang cukup mengambil berat kebajikan dan nasib kaum dhu’afa’ serta memberikan bantuan kepada mereka.

KEMAHIRAN PSIKOLOGI YANG TINGGI

Psikologi atau juga yang dikenali sebagai Ilmu Kejiwaan amat memainkan peranan penting dalam bidang kehidupan seseorang khususnya para pemimpin/ pejuang dan juga gerakan yang dibawanya. Mengimbau ketinggian Ilmu Psikologi yang ada pada Ummahatul Mukminin, dapat kita simpulkan bahawa mereka berjaya menguasainya sehingga dapat membantu perjuangan baginda SAW dalam perjalanan yang terarah, tenang di samping ketetapan bantuan ALLah SWT.

Pernah berlaku satu peristiwa di mana RasuluLLah SAW amat sedih lantaran arahan baginda ( selepas perjanjian Hudaibiyah ditandatangani dengan pihak Quraisy ) kepada para Muslimin agar menyembelih haiwan sebagai dam ( denda ) kerana mereka tidak menunaikan haji pada tahun tersebut dan kemudian menyuruh mereka mencukur rambut sebagai tanda tahallul tidak diikuti oleh seorang pun. Maka baginda kembali ke rumah Ummu Salamah dan menceritakan hal tersebut dengan nada bersedih. Lantas, dengan ketinggian ilmu Psikologi yang ada pada Ummu Salamah yang memahami keadaan suaminya yang tercinta maka beliau berkata :

“Ya RasuluLlah…! Sukakah engkau mengerjakan itu..? Kalau engkau suka hendaklah engkau keluar dan jangan berkata-kata walau sepatahpun dengan mereka, sehingga engkau menyembelih untamu kemudian engkau panggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu….!”

Nasihat isteri tercinta dituruti oleh baginda kerana pada pandangan baginda ia suatu saranan yang bagus. Ternyata keberkesanannya kerana apabila melihat tindakan Rasul SAW itu, semua kaum Muslimin mengikuti perbuatan baginda. Baginda berasa amat gembira dan memahami bahawa hanya dengan kata-kata sahaja kurang berkesan dalam mengajak manusia. Di sini juga dapat kita rumuskan betapa psikologi terhadap anak-anak buah/ orang-orang bawahan amat perlu dipertingkatkan dalam usaha kita mengarah mereka ke jalan ALLah SWT.

Ummu Salamah merupakan antara salah seorang Ummahatul Mukminin yang bijak dan berwibawa. Ini termasuklah dalam peranannya menasihati Siti Aisyah yang melibatkan diri dalam pertelingkahan antara Muslim selepas kewafatan RasuluLLah SAW dan juga nasihatnya kepada Sayidina Usman Affan agar mendekati dan memahami rakyat di bawah pemerintahannya. Sesungguhnya, Ummul Mukminin ini telah berjaya memainkan peranannya dalam 3 zaman iaitu zaman Rasul SAW, Zaman Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan Muawiyah, pemula kepada pemerintahan Bani Umaiyyah.

Sikap, ketegasan dan pengorbanan Ummu Salamah dalam melayani karenah-karenah kaum Muslimin khususnya selepas kewafatan Rasul SAW juga harus dijadikan contoh. Ketika Muawiyah berkempen mengajak ummat Islam untuk mengutuk Ali bin Abi Talib dalam suatu tabligh akhbar, Ummu Salamah segera mencabar dan memberikan nasihat kepada Muawiyah dan kaum Muslimin. Beliau berkata dengan penuh semangat lagi pantas….

“Sesungguhnya kamu sekalian telah melaknati ALLah dan RasulNya di atas mimbarmu. Kerana kamu telahpun melaknati dan mengutuk Ali bin Abi Talib serta orang-orang yang mengikutinya. Dan saya bersaksi bahawa ALLah dan RasulNya amat mencintai Ali bin Abi Talib.”

HUBUNGAN DIPLOMATIK & ANTARA KAUM

Seerah perkahwinan Rasul SAW dengan para isteri baginda SAW amat jelas bukanlah didasari atas kehendak dan kepentingan nafsu. Bahkan, sejarah telah membuktikan betapa di antara kalangan 13 orang wanita yang dinikahi baginda, hanya seorang sahaja yang bertaraf gadis iaitu Sayyidatina Aisyah .a . Manakala selebihnya telah pernah berkahwin . Ada yang merupakan janda daripada para sahabat yang telah gugur syahid di medan jihad mempertahankan Islam . Ada pula yang merupakan abdi/ tahanan perang dan ada juga yang telah diceraikan oleh para suami terdahulu. Rasul SAW menikahi mereka sebagai langkah untuk menjaga kebajikan mereka dan tidak kurang juga hasil daripada arahan wahyu ALLah, contohnya pernikahan baginda dengan Siti Aisyah .a dan Zainab binti Jahsyi .a .

Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah peranan perkahwinan tersebut dalam perspektif hubungan diplomatik dan antara kaum . Ummahatul Mukminin , Mariyah Al Qibtiyah .a contohnya ialah Puteri Syam’un dari kalangan penganut agama Nasrani ( Kristian ) Mesir, manakala ibunya berasal dari Rom , Itali. Beliau menjadi salah seorang penghuni Istana Muqauqis. Raja Muqauqis pula amat sayangkan dan menghormati beliau. Walau bagaimanapun, sebagai menghormati Nabi Muhammad SAW yang telah mengutuskan warkah kepada Raja Muqauqis, maka Mariyah telah dihadiahkan untuk Nabi Muhammad SAW.

Dalam perjalanan menuju ke Madinah, Mariyah telah tertarik dengan kecantikan akhlaq Islam yang ditunjukkan oleh Hatib bin Balta’ah, orang kepercayaan RasuluLLah SAW, lantas beliau memeluk Islam . Rasul SAW pula telah mengangkat martabatnya menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin. Hasil daripada hubungan ini, maka ahli keluarga Mariyah Al Qibtiyah juga kagum dengan akhlaq yang ditunjukkan dalam Islam . Hubungan antara ketiga-tiga buah negara semakin baik dan Islam selanjutnya dapat dikembangkan di Mesir dan Romawi, melalui hubungan perkahwinan tersebut.

Selain daripada itu, perkahwinan baginda SAW dengan Barrah bin Al Harris atau kemudiannya ditukarkan nama oleh baginda kepada Juwairiyah .a juga telah merapatkan hubungan antara kaum iaitu antara Kaum Quraisy - Islam dengan Kabilah Bani Al Mustaliq, satu kelompok yang begitu memusuhi Islam di Madinah . Ini dapat kita lihat melalui kata-kata Ummahatul Mukminin Sayyidatina Aisyah .a ……….

“ Sungguh, telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinannya itu, serratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah ku ketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah…….”

Ayahanda Juwairiyah .a iaitu Al Harrsi Abi Dhirar juga telah memeluk Islam di hadapan menantunya, Muhammad SAW. Ummahatul Mukmini ini juga telah menjadi tempat rujuk berkenaan hukum selepas kewafatan baginda SAW .

KHIDMAT MASYARAKAT

Kalangan Ummahatul Mukminin juga telah meninggalkan contoh kepada perjuangan masakini khususnya di kalangan Muslimat berkenaan persoalan khidmat masyarakat. Ini dapat kita perhatikan melalui peranan yang telah dimainkan oleh Ummahatul Mukminin, Maimunah .a. Walaupun baginda SAW telah tiada, namun Maimunah .a tetap menunjukkan kesetiaan yang penuh kepada Nabi SAW. Beliau tetap menjaga silaturrahim antara beliau dan madunya . Terdapat dalam catatan sejarah bahawa Maimunah .a banyak mengarahkan perhatiannya kepada masalah kaum wanita, terutama remaja Islam. Beliau membentuk satu pertubuhan wanita bagi memberi bantuan pertolongan cemas terhadap para pejuang yang tercedera dalam peperangan.

Oleh itu, beliau sangat menonjol dalam Perang Tabuk yang terjadi dalam Bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah, ketika itu RasuluLLah SAW masih hidup. Saat itu, Maimunah .a berada di antara kaum Muslimin pada barisan terdepan sekali . Ketika itu, beliau menyantuni para pejuang Islam yang tercedera dan merawat mereka dengan penuh kasih sayang dan ikhlas, bahkan beliau sendiri pernah hampir disambar anak panah musuh. Sikap dan kemahiran ini terus beliau kembangkan setelah RasuluLLah SAW wafat, bahkan para sejarahwan mengatakan bahawa beliaulah orang yang pertama sekali menubuhkan Persatuan Wanita. Kelebihan beliau ini juga mendapat pujian daripada Sayyidatina Aisyah .a melalui kata-katanya……..

“ Beliaulah ( Maimunah ) orang yang paling taqwa di antara kami ( para isteri RasuluLLah SAW ) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim !”

RUMUSAN

Ummahatul Mukminin begitu banyak meninggalkan suri tauladan kepada pejuang-pejuang Muslimat masakini. Dalam soal keilmuan, komunikasi, diplomasi, perdamaian, atursiasah dan langkah-langkah strategi serta termasuklah apa jua aspek sekalipun . Pengorbanan yang ditumpahkan ikhlas oleh mereka bukan setakat membantu kaum Muslimat bahkan juga kaum Muslimin dan yang lebih penting ialah khususnya perjuangan baginda RauluLLah SAW itu sendiri. Tetapi malangnya, dewasa ini ramai ummat Islam yang terpengaruh oleh kenyataan kaum intelektual sekular yang menyatakan bahawa peranan Ummahatul Mukminin ini hanya terbatas dalam soal melayani kehendak individu Rasul SAW . Semoga apa yang dibentangkan ini akan menjadi input yang berguna dalam menjana sokongan dan kerjasama seluruh pejuang Islam, tidak kira Muslimin atau Muslimat. Wallahu’alam.